Wednesday, August 24, 2011

MUSLIMAH : Kerana Engkau Istimewa. Maka jadikan RAMADHANMU juga Istimewa.




Buat Sahabat2 Muslimah :)


DIUJI DENGAN HAID KETIKA 10 TERAKHIR RAMADHAN?...
SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU

by: NORASLINA BINTI JUSIN

Telah beberapa kali saya meninjau ke luar tingkap, namun kelibat suami masih juga belum terlihat. Sesekali angin dingin musim sejuk di penempatan Hayyu at Tibba’ itu datang menyapa.

Tidak mahu berlama-lama dengan kedinginan yang menggigit, saya kembali menutup daun tingkap, lantas duduk bertimpuh di sofa arab melihat kak long dan kak ngah bermain. Hati yang risau bagaikan terubat melihat telatah dua anak kecil saya bergembira bersama.

Menatap wajah mulus kedua-duanya, jiwa diselubungi sayu dan hiba. Mereka bakal saya tinggalkan untuk tempoh lebih dua minggu andai perancangan untuk menunaikan haji tahun ini berjalan lancar. Tanpa apa-apa halangan, dengan izin-NYA.

Semua urusan telah diuruskan. Permohonan visa telah pun diluluskan. Persiapan pakaian dan kelengkapan yang perlu dibawa juga telah saya bereskan. Adik-adik akhawat yang tinggal berdekatan juga telah menyatakan kesediaan untuk anak-anak yang ditinggalkan.

Cuma perkara yang satu ini sahaja, menghadirkan resah dan gelisah.

“Ya ALLAH, moga ada jalan keluarnya untuk masalahku ini,” saya memanjatkan pengharapan.


EMEL TENTANG HAID
Hari ini, telah masuk hari kelima belas Ramadan 1431 hijriah. Bermakna, separuh bulan yang berkat ini berlalu sudah.

Seperti hari-hari sebelumnya, selepas menunaikan solat sunat dhuha dan mentadabbur lembaran kitab suci al Quran, saya membuka komputer untuk membaca berita-berita semasa tanahair secara atas talian, menjenguk blog, membaca emel dan tidak ketinggalan, membuka laman fb.

Dari kotak pesanan fb, satu pertanyaan daripada salah seorang kenalan menarik perhatian saya pagi ini. Persoalan itu berbunyi :

“….maafkan saya, ingin bertanya kepada Kak Ina. Saya ada kemusykilan berkaitan wanita yang dalam keadaan haid semasa malam 10 terakhir Ramadan. Bagaimanakah mereka dapat merebut pahala sama seperti orang-orang yang dapat beribadat semaksima mungkin semasa itu?

Wanita yang dalam keadaan haid, mereka tidak dapat membaca al Quran, tidak berpeluang utk qiamullail, juga tidak boleh beriktikaf di masjid, solat terawikh dan bermacam ibadah yang tidak boleh dilakukan semasa haid.


Selain berzikir dan mendengar bacaan ayat-ayat suci al Quran, apakah ibadah lain lagi yang boleh mereka lakukan? Adakah pahala mereka juga sama dengan orang-orang yang dapat beribadah semasa itu? Sudah pasti wanita-wanita dalam keadaan haid ini akan merasa rugi jika tidak dapat beribadah sebanyak mungkin ketika 10 malam terakhir Ramadhan ini, kerana pahala ibadah semasa ini amat berganda..

Saya memohon jasa baik Kak Ina untuk meleraikan kemusykilan saya ini.

Sekian terima kasih.”

Saat membaca persoalan yang diutarakan di atas, kenangan menunaikan haji 7 tahun yang lalu kembali terbayang pantas.


PANJATKAN DOA
“Abang dah jumpa doktor di klinik universiti tadi…” luah suami sebaik duduk melepaskan lelah. Kata-katanya terhenti seketika. Air kosong dari gelas yang tersedia di hadapannya diminum untuk menghilangkan dahaga. Kakinya dilunjurkan ke depan. Terpancar riak keletihan pada wajah suami kerana perjalanan yang agak jauh dari universiti. Hampir 15 minit, berjalan kaki.

“Alhamdulillah. Apa dia jawab bang? Dapat tak ubat tu?” saya bertanya, sedikit mendesak. Tidak sabar untuk mengetahui jawapan balas doktor tersebut terhadap permasalahan saya ini.

“Dia nasihatkan, tak perlu makan ubat tahan haid tu,” jawab suami ringkas. Saya mengerutkan dahi.

“Habis, macam mana kalau masa haji nanti As datang haid…” saya meluahkan kerisauan yang sejak tadi bersarang di dalam hati.

Terasa amat gundah diri ini saat membilang hari, mengenangkan tempoh haji nanti sangat bertepatan dengan tarikh kitaran haid saya.

Suami tidak segera menjawab. Pandangannya dilepaskan keluar tingkap. Beberapa ketika, kami diam tanpa kata. Hanya melayan resah yang melanda jiwa.

“Macam mana bang?” saya bertanya sekali lagi memecah sunyi. Suami menoleh.

“Kita berdoa sahaja kepada ALLAH. Mudah-mudahan permohonan kita diterima oleh-NYA,” balas suami lembut.

“Itu juga nasihat doktor pada abang tadi. Dia kata, ubat-ubat menahan haid seumpama itu ada kesan sampingannya. Lagipun, rawatan sebegini bukan 100% berkesan. Pendarahan boleh berlaku pada ketika ubat itu diambil. Jadi, dia nasihatkan, langkah terbaik, berdoa dan yakinlah dengan pertolongan ALLAH,” suami menambah.

Saya terus diam tanpa sepatah kata. Hanya jiwa tidak putus berdoa. Seluruh raga diserahkan bulat-bulat mengharap bantuan Yang Maha Kuasa.


PANDANGAN ULAMA
Berkat doa dan pengharapan yang tidak putus kepada ALLAH SWT, saya diizinkan juga oleh-NYA untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu. Cukup semua rukun haji saya kerjakan, darah haid keluar seperti biasa. Hanya, tawaf wada’ sahaja tidak dapat saya tunaikan sebelum melangkah pulang meninggalkan Makkah.

Alhamdulillah!

Saya memahami, setiap Muslimah yang beriman dan mengharapkan keredaan ILAHI amat mendambakan agar dirinya berterusan dalam keadaan suci untuk melipatgandakan ibadah di bulan yang mulia ini terutama pada sepuluh malam yang terakhir.

Kerana itu, ada sebahagian mereka yang sanggup mengambil ubat untuk menahan haid dari keluar. Mereka melakukan tindakan itu, agar dapat melaksanakan puasa dengan sempurna dan demi memastikan ganjaran dan pahala yang berlipat ganda itu dapat mereka raih sebanyaknya.

Saya tidak menafikan, wanita juga punya keinginan untuk menikmati keberkatan lailatul qadar di sepuluh hari terakhir bulan ramadhan sehingga ramai di kalangan mereka yang menggunakan ubat-ubatan tersebut untuk menghalang dari datang bulan.

Terdapat beberapa pandangan ulama silam dan kontemporari dalam membahaskan permasalahan ini. Di antaranya ialah pandangan Imam Ahmad sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah :

رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ رَحِمَهُ اللَّهُ ، أَنَّهُ قَالَ : لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا

Maksudnya : Diriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullah, beliau berkata, “Tidak mengapa seorang wanita mengkonsumsi ubat-ubatan untuk menghalangi haid, asalkan ubat tersebut baik (tidak membawa kesan negatif).” [ Al Mughni, 1/450, terbitan Dar ‘Alam Kutub.]

Dr Yusof al-Qardhawi juga memfatwakan keharusan pengambilan ubat untuk menangguhkan kedatangan haid ini dengan alasan, tiada dalil yang melarangnya. Dan, ia dibenarkan selama mana ubat tersebut tidak mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan.

Beliau menambah, para ulamak mutaakhirin turut membenarkan pengambilan ubat pencegah haid ini. Syeikh Mar'ie di dalam kitabnya Dalil al-Thalib yang bermazhab Hanbali menyatakan, kaum wanita dibenarkan memakan ubat sama ada bertujuan untuk mendatangkan haid atau menghalang pengeluaran biasanya. Beliau menjelaskan di dalam kitab syarahnya, bahawa asal setiap sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya. Dan, di dalam masalah ini ( mengambil ubat untuk haid ) tiada dalil yang mengharamkannya. [Fiqhu Shiyam, halaman 40]

Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad bin Salih Al ‘Utsaimin rahimahullah berpandangan sebaliknya apabila beliau menyatakan :

“Di dalam masalah ini saya berpandangan bahawa hendaklah wanita tersebut tidak melakukan sedemikian. Sebaliknya, hendaklah dia menjalankan ketetapan Allah yang telah digariskan ke atas setiap wanita. Kebiasaan datang haid setiap bulan di sisi ALLAH memiliki hikmah yang amat banyak jika kita mengetahuinya. Hikmah yang dimaksudkan adalah bahawa kebiasaan datang haid ini termasuk rutin yang normal, di mana haid ini terjadi bertujuan mencegah wanita dari pelbagai bahaya yang dapat memudaratkan dirinya. Para pakar kesihatan telah menjelaskan kesan negatif dari penggunaan ubat seumpama itu, bahkan Nabi SAW juga telah bersabda:

“Laa dharara wa laa dhiraar ( tidak ada bahaya dalam syari’at ini dan tidak boleh mendatangkan bahaya tanpa alasan yang benar.)” [Sumber: Fatwa Al Islam Soal wa Jawab no. 7416, http://islamqa.com/ar/ref/7416/]


TERIMALAH KETETAPAN-NYA
Demikian juga pandangan saya sendiri. Dalam menangani persoalan yang ditanya di atas, saya suka menasihatkan para Muslimah agar berlapang dada menerima ketetapan-NYA. Antara ciri wanita yang beriman dan solehah ialah reda dan sabar dengan setiap aturan yang telah disusun oleh ALLAH SWT. Ia merupakan satu ibadah kerana kepatuhan dengan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menerima ketetapan ILAHI juga adalah satu ketaatan yang menyediakan ganjaran yang tidak kalah berbanding mereka yang dapat melaksanakan puasa di bulan mulia ini.

Banyak lagi kebaikan yang boleh dilaksanakan sebagai ganti dari ibadah puasa, solat dan lain-lain yang tidak dapat dikerjakan kerana haid, seperti :

memperbanyak berzikir dengan bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah) dan zikir lainnya
memperbanyak istighfar
melipatgandakan doa
memperhebat sedekah
membantu menyediakan juadah berbuka
menolong kerja-kerja yang agak berat agar orang-orang lain yang berpuasa dapat berehat
dan lain-lain lagi kebaikan dan kebajikan yang semuanya ada nilaiannya di sisi ALLAH.

Justeru itu, Dr Yusuf al Qaradawi menyatakan di dalam fatwanya, adalah lebih baik untuk para wanita mencontohi muslimat mukminat di zaman salafus soleh yang pasrah terhadap fitrah yang dikurniakan ALLAH ke atas mereka ( yakni dalam permasalahan haid ). Mereka berpuasa dan berbuka apabila datang haid dan tidak pernah menyusahkan diri mereka supaya dapat berpuasa sebulan penuh (dengan menghalangi datangnya haid ).

Setiap ketetapan ALLAH pasti ada hikmah yang luar biasa di sebalik semua itu sebagaimana pujukan baginda Rasul SAW tatkala melihat tangisan isteri yang dikasihi, Sayyidatina ‘Aisyah r.a.


KISAH ‘AISYAH

Suatu masa, ‘Aisyah didatangi haid sebelum memasuki kota Makkah. Ketika itu, beliau sedang menemani Nabi SAW mengerjakan haji wada’. Apabila beliau mendapati keadaannya itu, dia menitiskan air mata. Lantas, Nabi SAW bertanya:

“Apa yang membuat dirimu menangis?”

“Demi Allah, pada tahun ini aku tidak boleh melaksanakan haji,” jawab ‘Aisyah dalam sendu sedan menyelubungi diri.

“Barangkali dikau mengalami haid?”baginda bertanya lagi.

“Benar,” ‘balas ‘Aisyah ringkas.

Lalu, Rasulullah SAW bersabda :

فَإِنَّ ذَلِكَ شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

Maksudnya : “Yang demikian itu adalah perkara yang sudah Allah tetapkan buat anak-anak perempuan dari keturunan Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang yang berhaji kecuali tawaf di Ka’bah hingga kamu suci.” ( Hadis riwayat Bukhari no. 305 dan Muslim no. 1211 )


SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU

Akhirnya, saya ingin membawa satu petikan video di bawah ini yang cukup membuka jiwa. Walaupun ia tidak begitu kena mengena dengan permasalahan haid wanita dan kegusaran mereka mengenainya di bulan mulia ini, tetapi kandungannya amat bermanfaat bagi memahamkan kita tentang apa itu rasa thiqqah ( yakin dan percaya ) serta baik sangka kepada ALLAH SWT.



Setiap peraturan dan ketetapan ALLAH SWT yang bentuknya pelbagai, berupa fitrah kejadian, ibadah, larangan, kesenangan, kesusahan dan lain-lain yang berlaku di dalam hidup kita adalah merupakan ujian bagi menilai keimanan.

Insafilah, tiada yang sia-sia dari-NYA.

Untuk itu, serahkanlah keyakinan kepada ALLAH SWT, pasti DIA membalas keyakinan itu dengan rahmat, berkat dan ganjaran yang melimpah ruah dari sisi-NYA, TUHAN Yang Maha Pemurah.

Moga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

p/s : Untuk maklumat mengenai ubat pencegah haid dan kesannya, boleh baca di sini. Dan juga, hukum membaca al Quran ketika haid di sini.



JANGAN DITANGISI HAID DI BULAN RAMADHAN...

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?

Hal-hal yang dilarang dilakukan oleh wanita haid, dan wanita nifas:

  1. Solat
  2. Puasa
  3. Memasuki masjid (terdapat ikhtilaf dikalangan ulama]
  4. Perceraian , wanita haid tidak boleh dicerai,namun harus menunggu hingga ia suci.
  5. Berhubungan suami isteri
  6. Membaca Al-Qur’an (ada perbezaan pendapat)
  7. Tawaf

Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir. Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun,ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.

Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.

Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji.

Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim)

Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita(anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apayang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.

Redha

Redha di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.

Redha di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)

Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)

Rindu

Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci.

Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Bilakah haid menjadi masalah?

Haid menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak boleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan.

Seorang muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya

Tunaikanlah keperluan ukhtimu yang berpuasa!

Seorang muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid, bersedekah dan sebagainya.Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).

Selain itu, gunakanlah tempoh haid ini untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah dan lain-lain urusan dunia anda, supaya kita dapat menyibukkan diri dengan ibadah ketika waktu suci tanpa dirunsingkan dengan rumah yang bersepah atau tugasan yang belum selesai.

Akhir kata, sebelum datangnya tempoh haid anda, perbanyakkanlah amal ibadah, semoga Allah tetap memberikan ganjaran bagi amalan yang kita terhalang dari melakukannya disebabkan haid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sekiranya seorang hamba muslim sakit atau bermusafir, (tetap) ditulis baginya apa yang dahulunya dia lakukan ketika dia sihat dan bermukim.”(Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).

Maka, barangsiapa yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran sepertimana kita melakukannya.

Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid

“Aduhai, tak boleh pulak nak beribadah di 10 terakhir Ramadhan ni…” isteri saya mengadu kepada saya dengan nada sedikit kecewa.

Kesian pula saya melihatnya. Saya faham sangat apa yang terpaksa dihadapi beliau. Tentunya semangat beliau berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah sunnat. Namun, apakan daya. Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redha. Saya lalu menasihati beliau dengan beberapa nasihat yang mudah-mudahan dengan nasihat itu bisa menaikkan semula semangat beliau untuk beribadah di 10 terakhir Ramadhan walaupun dalam keadaan ‘uzur’.

Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah. Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.

1. Redha dengan ketentuan ALLAH

Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin. Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH. Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya. Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH. Bukan senang seseorang itu hendak redha. Justeru, redhalah. Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.

Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.

2. Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan

Memang ibadah terbaik di waktu seperti malam adalah solat-solat sunnat. Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja. Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:

  • Membaca ayat-ayat al-Quran dan terjemahannya tanpa memegang mushaf al-Quran. (Rujuk fatwa di sini.)
  • Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH samada melalui lidah, hati atau perbuatan. Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:
    • “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
    • “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
    • “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
    • “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
    • “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
    • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
    • Dan lain-lain lagi.
  • Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar. Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin.
  • Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah.
  • Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
  • Muhasabah diri.
  • Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.

Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang mengalami haid. Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan. Kerana di dalamnya kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar. Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid.

3. Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.

  • Menghadiri majlis-majlis ilmu.
  • Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah.
  • Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
  • Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa. InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
  • Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
  • Dan banyak lagi tidak terkira.

Itulah antara sebahagian yang sempat saya fikirkan untuk dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada di luar sana. Menurut isteri saya, memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM. Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan. Terbuanglah peluang begitu sahaja, malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.

ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hambaNYA. Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA. Konsep ibadah ini terlalu luas. Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah? Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan. :)

ALLAHU A`LAM.


sumber :

-kak Ina (Noraslina bt Jusin)

-wanitasihat.com

- www.muzir.wodpress.com



3 comments:

simpleshida said...

salam ramadhan kareem!
aiwah..info yg best lg berguna utk wanita yg berCUTI ;)

insyaallah sama-sama kita amalkn semampu boleh! syukran...

nk share juge dlm blog ;)

eid mubarak.. barakaallahu feek..
taqaballahu minna wa minkum..

Ahyana Solehah said...

tafaddhal shida :j

nor amira said...

syukran, sgt berguna buat kita para muslimah.. insyaAllah. artikel yg memberi kesedaran bahawa Allah itu Maha Adil terhadap hamba-hambaNya.
mohon share =)