Saturday, October 29, 2011
Alhamdulillah...Kenangan bersama Masyaikh2 Al-Azhar...
Monday, October 24, 2011
.: Seindah Cinta Hanzalah :.
Subhanallah..sejatinya cinta mereka..
.: Dalam Fitrah Bahagia, terselit Ikhlas dan Redha :.
Tidak seorang pun daripada manusia yang mampu membohongi hakikat, bahawa di dalam tubuhnya itu ada hati. Dan hati tersebut pula diciptakan oleh Allah dengan satu keistimewaan, iaitu menjana al-hub yakni rasa cinta,kasih dan sayang.
Itulah yang dinamakan sebagai fitrah.
Menidakkan peranan dan hakikat fitrah seumpama cuba menukar manusia menjadi satu makhluk yang lain. Kerja yang sia-sia dan hanya mengundang derita tiada sudah.
Justeru terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama bercakap dengan diri sendiri. Bisikkan kepada diri sendiri bahawa tidak ada salahnya mengakui hakikat penciptaan seorang manusia, yang ada jiwa dan ada cinta.
Islam tidak pernah menyekat fitrah dan naluri manusia. Jika manusia melihat Islam sebagai suatu peraturan dan cara hidup yang menyekat, bermakna manusia tersebut masih belum mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar.
TERIMA HAKIKAT, FAHAMI DAN BERTINDAK
Lihatlah jam di dinding. Perhati detikan jarum panjang dan pendeknya. Renungi dan tanamkan dalam diri anda, bahawa lambat laun fitrah dalam diri tetap akan bersuara. Kebenaran itu tidak bisu. Sampai masanya, ia tetap akan bercakap dengan anda.
Menyedari hakikat tersebut, maka jalan yang bijak bukanlah ‘memerangi’ sebaliknya bersedia untuk menerima. Jangan perangi fitrah dalam diri anda mahupun diri orang lain. Apabila seorang saudara anda mengeluh jatuh hati atau jatuh cinta, jangan dikecam orang tersebut. Begitu juga apabila hati anda bersuara dengan jelas kepada anda tentang fitrahnya, maka jangan dikecam jiwa anda sendiri.
Jika dari awal, anda menyediakan otak untuk ‘menerima’ dan bukannya ‘memerangi’ , maka saya kira anda boleh bertindak dengan lebih rasional, matang dan bijak. Bertindak atas dasar kefahaman dan bukannya emosi semata-mata.
PANDU KE JALAN SELAMAT
Anda perlu faham bahawa jatuh cinta itu bukan suatu kesalahan. Jika ditakdirkan tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau tersuka kepada seseorang yang mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak ada, maka terima dan raikannya perasaan ataupun ‘suara jiwa’ anda terlebih dahulu.
Ini kerana ada golongan yang kelihatannya langsung tidak mahu bertolak ansur dengan suara jiwa mereka sendiri. Kata mereka itu suara Syaitan. Suara nafsu. Bukan suara Iman. Lantas mereka bersifat keras terhadap suara jiwa mereka sendiri, dan lebih malang apabila orang sekeliling mereka turut dipaksa untuk mengambil pendirian yang sama.
Meraikan suara jiwa anda bukan bermakna membiarkan diri anda hanyut. Itu kena jelas.
Sebab itu saya bercakap soal panduan. Setiap masalah, ada penyelesaian. Setiap perkara, ada tempat duduknya. Soal hati dan perasaan juga begitu. Ada tempat duduknya sendiri. Justeru menafikan tempat duduknya adalah suatu bentuk kezaliman.
Raikan perasaan suka. Raikan perasaan minat. Raikan perasaan terpikat. Jangan kecam dan jangan salahkan diri sendiri. Ini step yang sangat penting ketika anda jatuh cinta.
Kemudian, setelah anda mampu meletakkan diri anda dalam konteks yang betul, stabil dan meraikan bahasa jiwa, maka barulah anda boleh ‘memandu’ fitrah tersebut ke jalan yang sepatutnya.
PANDUAN PERTAMA : HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ini paling penting. Saat jatuh hati dan terpikat itu, bagaimana sebenarnya hubungan anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya bagaimana, bacaan Al-Quran dan amalan sunat yang lain di tahap mana?
Ini kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang paling teguh dan kukuh hubungannya dengan Allah. Di dalam hadith Nabi s.a.w menyebut bagaimana hati boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada amalan dosa tanpa taubat.
Justeru hati yang seperti itu – semoga Allah jauhkan – bicaranya sangat bahaya. Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan. Maka berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut, perbaiki dahulu perhubungan dengan Allah ta’ala.
PANDUAN KEDUA : IMAN ATAU NAFSU
Tanya kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat? Anda mungkin sukar untuk jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya boleh jujur dengan diri sendiri. Kalau faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya sangat dominan di pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan dengan jatuh hati pada banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini terpikat dengan Timah, esok dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik, dan sebagainya.
Tetapi jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya yang mendominasi, anda lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk mengawal dan mengemudi hati ke landasan yang sepatutnya.
PANDUAN KETIGA : MASUK SECARA TERHORMAT
Dalam Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab yang diperakui. Tidak ada mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan atau menidakkan soal hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat dititkberatkan dan disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.
Maka untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan selamat, cara terbaik adalah dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam hidupnya dengan cara yang paling baik. Bukan melalui pintu belakang.
Rumah buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut tingkap atau pintu dapur, tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.
PANDUAN KEEMPAT : KETUK PINTU DENGAN ADAB
Sebelum masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu dan berilah salam. Kita sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik, insyaAllah tuan rumah juga akan layan kita dengan cara yang baik.
Apa yang penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai seorang muslim. Cara untuk ‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau menggunakan perantaraan seperti orang tengah dan sebagainya.
PANDUAN KELIMA : MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR
Ketika perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati kita, biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling besar yang perlu diatasi. Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti tertunai dan si dia mesti dimiliki.
Sebab itu ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan mati’. Seolahnya, kalau tak dapat akan menderita hingga mati.
Islam ternyata lebih awal menyediakan solusi untuk kita. Islam mendidik kita supaya membezakan antara perkara besar dengan yang lebih besar. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah diangkat kalam dan telah keringlah dakwat.
Bermakna, semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah apa yang sedang kita usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu tidak salah, cuma perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih besar iaitu TAKDIR.
Paling cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam diri sebelum ‘mencabar’ diri untuk tampil ‘mengetuk pintu’.
PANDUAN KEENAM : BAHAGIA DAN TERSENYUM
Dalam melaksanakan beberapa panduan di atas, kita akan berdepan dengan beberapa natijah :
a) Dia yang kita suka pada awalnya, tetapi apabila diperhalusi rupanya kesukaan tersebut lebih diserabuti duniawi semata-mata, lalu kita kembali memperkasa cinta hakiki sebelum akhirnya menemui sejenis ketenangan padanya. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
b ) Dia yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan jalan ke arah pernikahan begitu mudah pula. Akhirnya bersatu di alam rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
c ) Dia yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah mempunyai seseorang di hatinya. Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada perkara lebih besar iaitu soal takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum mampu tersenyum dan bahagia.
d ) Dia yang kita suka rupanya tidak ditakdirkan untuk kita, tetapi dalam waktu yang sama Allah bukakan jalan baru untuk kita dan dengan mudahnya keperluan kita terlaksana dengan seseorang yang kita sendiri tidak jangka. Akhirnya kita tersenyum dan bahagia.
Dalam apa keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan bahagia adalah REDHA. Justeru sangatlah penting untuk memegang panduan pertama yakni soal hubungan hati dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan seterusnya.
Yang penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya masing-masing. Justeru mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas setiap daripada kita?
Sekian.
dipetik dari artikel "Panduan Ketika Jatuh Cinta : myilham.com
Thursday, September 29, 2011
Di Hari Istimewamu..
Dengan terpandang wajahmu
Akan mengingatkan aku kepada Allah
Mendengar cakapmu
Ilmu ku bertambah
Inspirasi seorang Doktor a.k.a Sahabat yang dirindui...
Tuesday, September 27, 2011
Ya Allah, jadikanlah kami Penyejuk Mata...
” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk matakami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa.”
Perempuan ibarat tulang rusuk yang bengkok..
"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi." ALHAMDULILLAH, KU BERSYUKUR DILAHIRKAN SEBAGAI SEORANG MUSLIMAH. :) credit to the writer :j : source
"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"
"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."
"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."
"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok*? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."
"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."
"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"
"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."
"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."
"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."
"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"
"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."
"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."
"Apa maksud sebenar Hadis tu?"
"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."
"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"
"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan."
"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."
"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."
"Hmm, betul tu Naim."
"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."
"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."
"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "
*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)