Tuesday, July 19, 2005

surat utk akhi

SURAT UNTUK AKHI...

Image hosted by Photobucket.com


AsSalamu’alaykum WarahmatuLLah Akhi fil-Islam,

Sebelum pena ini mula menari menulis apa yang direncana, ana doakan agar ia jauh daripada fitnah syaitan laknatuLLah dan jauh daripada murka ALLAH. Walaupun berat rasanya untuk meluahkan segala yang terbuku di hati, namun dengan izin ALLAH dan kesan daripada solat istikharah (moga ini bukan riak, AstaghfiruLLah… ), ana yakin ini adalah lintasan yang benar dan dipandu oleh petunjuk ALLAH untuk menzahirkan apa yang lama telah terpendam. Semoga Dia mempermudahkan agar mudah difahami dan tidak disalahertikan nanti.

Akhi,
Memang telah sekian lama ana tidak mengirimkan khabar berita, namun bukan bererti ana cuba untuk berlagak sombong terhadap akhi apatah lagi untuk menyakiti hati akhi. Sepanjang ukhuwah yang telah lama terjalin ini, ana telah cuba sedaya upaya untuk berlaku seadilnya sebagai sahabat yang baik kepada semua teman, namun apakan daya, ana insan yang penuh kekurangan.

Sesungguhnya kita hendaklah benar-benar menuntut pertimbangan yang waras apabila melaksanakan sesuatu dan pengorbanan itu juga perlu jika kita tidak ingin tewas. Segala perlakuan dan tutur bicara akhi telah membuatkan sel-sel neuron ana semakin pantas mengemudi penilaian ini, sejauh mana keikhlasan kita dalam menjalinkan ukhuwah yang suci kerana ALLAH? Kenapa kita perlu untuk berjumpa? Kenapa perlu SMS dan missed call selalu? Kenapa perlu mendengar suara? AstaghfiruLLah … Kadangkala tanpa kita sedari, hati kita bisa dirasuk oleh perasaan halus yang berpunca daripada bisikan syaitan. Janganlah kita biarkan ukhuwah kita dicemari oleh anasir-anasir jahat seperti itu. Dan ana memohon seribu kemaafan seandainya kata-kata ana telah dan bakal mengguris hati akhi.

“ Anti meragui keikhlasan dan kejujuran ana terhadap anti ke? ”

Sebagai orang asing dalam hidup ana, ana berhak untuk meragui diri akhi. AlhamduliLLah , asuhan keluarga dan pendidikan Islam yang telah disemai sedari kecil masih tersemat kukuh di dalam hati ana. Ana harus tahu menjaga diri ana terlebih dahulu sebelum terburu-buru menghadiahkan kepercayaan dan memberikan keyakinan kepada orang lain, terutamanya kepada orang yang berada di luar lingkungan rumah ana. Sememangnya penilaian tidak boleh dibuat berdasarkan sifat luaran semata-mata, sebaliknya hati dan kemuliaan yang bertunjangkan iman dan aqidah yang menjadi ukuran. Buku juga tidak dinilai berdasarkan kulitnya semata-mata, tetapi siapa yang tahu apakah yang tersurat dan tersirat disebalik kulitnya? Apakah tolok yang paling jitu tanpa ralat untuk mengukur darjah keikhlasan seseorang?

Benar, siapalah ana untuk mempersoalkan keikhlasan diri orang lain apatah lagi untukmendabik dada di atas kejujuran hati sendiri. Perihal hati ini ana serahkan sepenuhnya kepada ALLAH, kerana DIA Yang Maha Mengetahui. Apapun, janganlah sekali-kali kita lupa bahawa pangkat dan darjat seseorang manusia di sisi ALLAH adalah bergantung kepada ketaqwaan dan darjah keimanan seseorang kepadaNYA.

Akhi, sebelum kita benar-benar mengidamkan kepercayaan insan terhadap ketulusan hati kita, ada baiknya kita persembahkan keluhuran hati kita kepada ALLAH terlebih dahulu. Sesungguhnya jika diterima di sisi ALLAH sebagai hamba yang taat jauh lebih baik daripada dimuliakan oleh insan dalam tepuk sorak syaitan. Na’uzubiLLahi min zalik .

“ Ana sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik demi anti. Ana juga bakal menjadi doktor, seperti yang diidamkan oleh anti. Ana benar-benar berusaha untuk menjadi seperti seorang yang anti impikan. ”

AstaghfiruLLah-al-‘Azhim. Kenapa mesti akhi niatkan sebegitu? Kenapa akhi mesti meletakkan ana sebagai batu loncatan terhadap kejayaan akhi sendiri? Niat akhi menjadi doktor kerana ana? Kerana ana? “ Ya ALLAH, ku mohon keampunanMU seandainya diri ini telah melalaikan khalifahMU dibumi ini. Ya ALLAH, kumohon perlindunganMU daripada menjadi asbab kelalaian kepada khalifahMU dalam melaksanakan ibadah yang seharusnya mutlak keranaMU.”

Ana tak minta akhi buat semua ini kerana ana. Siapalah ana untuk didedikasikan apa yang akhi lakukan. Ana tak minta dan jauh sekali ingin dikasihi melebihi kasih akhi kepada Pencipta kita. DIAlah yang berhak dicintai melebihi segalanya. Ana khuatir jika kita sama-sama terlalai daripada melaksanakan tugas kita sebagai da’ie, khalifahNYA yang berkelana di bumi ini dengan amanah yang begitu berat rasanya untuk dilaksanakan, melainkan jika kita benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaNYA. Akhi, pandanglah hakikat kejadian kita ini dengan mata hati, bukan hanya dengan sepasang mata zahir yang begitu terbatas kemampuannya untuk menilai sesuatu yang lahiriah. Ingatlah bahawa kita diciptakan bukan untuk sesuati yang sia-sia, tetapi untuk beribadah, ikhlas keranaNYA.

Profesion yang ana sentiasa doakan agar ia menjadi destinasi akhi sebenarnya menuntut pengorbanan yang sangat tinggi, dan tugas sebagai seorang doktor adalah sangat mulia jika diiringi oleh niat LiLLahi ta’ala. Alangkah ruginya jika akhi membataskan matlamat perjalanan akhi hanya kerana makhluk ALLAH yang hina ini. Sebaliknya, kembalilah memohon pernaungan daripada al-Khaliq. Mudah-mudahan kita dapat memperbetul niat kita, dan hasilnya segala urusan kita akan dipermudahkan oleh ALLAH. Ameen.

“ Berilah ana peluang untuk menjelaskan segalanya kepada anti. Ana benar-benar ikhlas untuk mengenali diri anti dengan ebih dekat. Maka ana harap kita dapat berjumpa untuk berkenalan antara satu sama lain. ”

Akhi, tidak cukupkah dengan ukhuwah yang telah terbina antara kita? Untuk apa, dan apa yang akhi maksudkan untuk lebih mengenali? Adakah untuk membuka ruang kepada syaitan untuk menyelinap masuk ke dalam lompong-lompong kelemahan dalam diri kita? Lupakah akhi pada sabda nabi bahawa apabila lelaki dan perempuan berdua-duaan, yang ketiganya adalah syaitan? Tidak takutkah akhi, apabila mengenali seorang wanita dengan lebih dekat kelak akan lebih mudah menimbulkan fitnah. RasuluLLah telah pun berpesan bahawa fitnah yang terbesar di akhir zaman adalah golongan Hawa. Semoga diri ana yang lemah ini dipelihara ALLAH agar jauh daripada segala punca fitnah.

Akhi, sebetulnya ana berasa amat bersyukur atas ukhuwah yang telah terbina. Panjatan tahmid dan tasbih ke hadrat ALLAH atas ikatan persahabatan ini dan jutaan terima kasih kepada adik akhi yang juga merupakan sahabat baik ana yang telah menjadi asbab kepada ikatan suci ini. Ukhuwah yang merupakan anugerah ALLAH ini sepatutnya kita hargai. Janganlah kita cemari dengan perlakuan-perlakuan yang kelak akan mencacat-celakannya. Cukuplah sekadar adik akhi yang menjadi penghubung kita. Tidak perlu pertemuan, tak kira melalui telefon atau apa saja yang pastinya boleh menggugat kekuatan iman kita.

Akhi, selagi belum berumah tangga, ibu bapa analah yang paling berhak ke atas ana buat masa ini. Setiap keputusan yang ana ambil hendaklah mendapat keredhaan mereka. Restu mereka terlalu mustahak buat diri ana kerana itulah yang menentukan kebahagiaan buat anak-anak, Insya-ALLAH.

Seperkara lagi, tidak perlulah akhi mengumpul duit yang banyak untuk membelikan bermacam-macam benda untuk ana yang tiada ikatan yang sah dengan akhi. Harapan akhi untuk membawa bakal isteri akhi ke Mekah, tinggalkanlah dahulu. Perkara yang masih belum ada kepastiannya. Sebaiknya, akhi simpanlah duit itu untuk berbakti kepada kedua ibu-bapa akhi. Jangan sekali-kali akhi menjadikan ana sebagai asbab untuk tidak menunaikan tanggungjawab akhi kepada mereka. Tanggungjawab akhi untuk menjadi anak yang soleh sehingga maut datang menjemput. Walaupun setelah berkahwin, syurga akhi tetap terletak di bawah tapak kaki ibu, bukan seperti ana, kunci bagi pintu syurga adalah redha suami ana.

Pada akhir kalam ini, ana ingin memohon ribuan kemaafan atas keterlanjuran kata-kata dan perlakuan sepanjang ukhuwah yang telah terbina. Tidak perlulah rasanya untuk akhi membalas helaian ini kerana itu mungkin akan menambahkan lagi noda-noda hitam di hati ana. Cukuplah sekadar akhi mengetahui apa yang tersirat di dalam hati ana. Semoga ukhuwah yang didasari dengan cinta kepada ALLAH akan sentiasa dipayungi rahmat dan berkatNYA.

Yakinlah dengan janji ALLAH, wanita yang baik adalah untuk ellaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik,dan begitulah sebaliknya. Insya-ALLAH, sekiranya kita sama-sama menjaga batas-batas pergaulan yang dituntut oleh syara’, jodoh kita akan soleh dan solehah. Sememangnya setiap muslim mengimpikan wanita yang solehah bak bidadari syurga yang bakal menyerikan syurga di dunia. Begitu jualah bagi seorang muslimah, menginginkan seorang mujahid ALLAH yang setia dan mampu membimbing dirinya ke jalan kebenaran, yang akan mengajaknya kembali kepada Rabb-ul-‘izzati ketika dirinya lemah, yang akan meyakinkan dirinya bahawa kemanisan iman akan menaungi hati-hati yang bertaqwa, yang akan memberi peringatan kepada dirinya ketika terlupa akan nikmat dan rahmat ALLAH. SubhanaLLah.

Sekiranya ditakdirkan terbuka pintu hati ana untuk menerima suami ana nanti, Insya-ALLAH, tanpa ragu-ragu lagi akan diserahkan sepenuhnya cinta ini dengan didasari cinta kepada ILAHI. Jodoh dan pertemuan di tangan ALLAH. Kita merangcang dan DIA juga merancang. Namun DIAlah sebaik-baik perancang. Ana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ALLAH untuk menentukan bakal zauj ana. Ana yakin dialah yang terbaik untuk ana kerana ALLAH yang telah menetapkannya untuk ana. Diharapkan agar akhi juga begitu. Semoga ALLAH mempermudahkan pertemuan dan jodoh kita dengan insan yang diredhaiNYA. Letakkan keyakinan, gantughkanlah harapan kepada ALLAH. Redhalah dengan setiap ketentuan dan ketetapanNYA. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui segalanya, dan kita tiada mengetahui perkara yang ghaib. waLLAHU ta’ala a’lam. Wassalam.

~ Ukhtu-ka fil-Islam ~ -------------------------------------



“ Ya ALLAH, diri ini telah meletakkan dan memberikan sepenuh hati kepadaMU untuk dilindungi daripada sebarang kejahatan yang akan merosakkan kemuliaannya. Ya ALLAH, andainya hati ini ingin KAU berikan sebahagiannya kepada makhluk ciptaanMU, berikanlah ia kepada khalifahMU yang turut mencintaiMU supaya katiku tidakpernah berhenti daripada berzikir kepadaMU dan rahmatilah diriku dengan limpahan kasih sayangMu ya ALLAH…

Ya ALLAH,
jika aku jatuh cinta, maka cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya kepadaMU agar bertambah kekuatan untuk mencintaiMU.

Ya MUHAIMIN,
jika aku jatuh hati, izikanlah akumenyentuh hati seseorang yang tertaut hatinya kepadaMU agar tidak terjatuh hati ini pada jurang cinta nafsu.

Ya RAHMAN, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling hatiku daripadaMU.

Ya RAHIM, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seorang yang merindui syahid di jalanMU.

Ya ALLAH, jika aku menikmati cinta kekasihMU, janganlah kenikmatan itu melebihi kemanisan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhi.

Ya ALLAH, jika aku jatuh hati pada kekasihMU, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMU.

Ya ALLAH, jika kau halalkan aku merindui kekasihMU, jangan biarkan aku melampaui rinduku untuk bertemu denganMU.

Kerana aku yakin, bahawa sesungguhnya CINTA HAKIKI dan RINDU yang ABADI hanyalah kepadaMU."

Ameen ya RABB-al-‘Alamin…


~~excerpted and edited from Al-Fikrah - 2nd edition - March 2005

0 comments: