Wednesday, August 24, 2011

SIMPOSIUM MAHASISWA PERUBATAN ISLAM 2011



Di mana ada manusia, di situ ada Pesakit

Di mana ada pesakit, di situ ada Ubat

Di mana ada ubat, di situ ada Doktor

Di mana ada Doktor, di situ ada Peluang Dakwah".


Nama telah tersenarai dan antara yang awal terpilih untuk menghadiri Simposium Mahasiswa Perubatan Islam ini, malah bertempat di tanah air sendiri [Kelantan] namun takdir Allah pula menentukan untuk saya kembali awal ke Ardhul Kinanah. Apapun seronok dengar perkembangan dan cerita dari sahabat2 perubatan [yang rata2 dari mesir yang pulang bercuti dan berpeluang hadir untuk simposium ini], apatah lagi dapat bertemu dengan tok guru yang disayangi, memang sedikit mengundang kecemburuan di hati. Apapun Indal hikmah a'la kulli syaik. Insyaallah semoga tok guru dipanjangkan umur, begitu juga saya dan semoga ditakdirkan untuk bertemu lagi, walau sekadar di kuliah mingguan Jumaat di medan KB yang dirindui. :j Mari kita dengar apa pesan tok guru kepada bakal2 duktur dukturah..... Semoga Allah merahmati tok guru Nik Aziz yang tak jemu memberi nasihat walau kepada posisi apapun hatta kami sebagai mahasiswa perubatan...

p/s: tahniah kepada PERUBATAN dan PAPISMA atas kejayaan simposium ini. tahun depan buat lagi! InsyaAllah semoga bertemu di NICE pula.... :j


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

قال الله تعالي : وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا (82)

yang bermaksud : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Surah al-Israk, ayat 82

Terima kasih saudara pengerusi majlis.

YB Abdul Fatah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan

Yang Amat Berusaha Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan

Para pembentang kertas kerja

Peserta-peserta Simposium yang dirahmati Allah SWT.

Pertamanya, alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk bersama-sama berada di dalam majlis ini. Tahniah saya rakamkan kepada pihak Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan yang telah berjaya menganjurkan simposium Fiqh Perubatan Islam yang merupakan satu program yang benar-benar bermanfaat dan memberikan pendedahan yang sungguh baik kepada para peserta. Saya kira program sebegini yang mengenengahkan konsep perubatan Islam untuk difahami oleh umat Islam amat jarang sekali diadakan dan amat tepat pada masanya Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO mengambil langkah menganjurkan simposium seperti hari ini. Saya difahamkan bahawa peserta-peserta Simposium ini terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan perubatan dari universiti-universiti terkemuka di Mesir yang bukan sahaja berasal dari negeri Kelantan bahkan dari seluruh negara. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ahlan wasahlan, selamat datang ke bumi Kelantan Bumi Serambi Mekah.

Hadirin dan hadiraat dikasihi sekalian,

Perubatan adalah amalan semua umat manusia di dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau ugama kerana sesiapa boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman terciptanya manusia sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam sekitar.

Di dalam Islam, diajar kepada setiap muslim untuk meyakini bahawa hidup ini adalah satu medan ujian. Manusia diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis ujian untuk membuktikan siapakah di antara mereka yang benar-benar beriman dan siapakah pula yang tidak mampu untuk berdepan dengan ujian. Sebagaimana kesusahan merupakan satu ujian, kesenangan juga merupakan satu ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ (35)

yang bermaksud : Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Surah al-Anbiya’, ayat 35

Berhubung dengan penyakit, perlulah diingat bahawa Islam mengajar manusia bahawa setiap penyakit yang menimpa seorang muslim pasti akan mendatangkan kebaikan padanya. Ia samada merupakan penghapus kepada dosa-dosa yang telah dilakukan atapun merupakan tangga untuk diangkat darjat oleh Allah SWT. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا

yang bermaksud : Tidak ada seorang muslim yang ditimpa oleh kesakitan sekalipun sebatang duri atau lebih ringan daripada itu kecuali Allah SWT menghapuskan daripadanya dosa-dosanya sebagaimana pokok yang menggugurkan daunnya’”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Peserta-peserta Simposium sekalian,

Sekalipun penyakit ini merupakan ujian, namun kita perlu juga untuk mencari penawar kepada setiap penyakit yang dialami. Hakikatnya, setiap penyakit yang diciptakan Allah SWT pasti mempunyai ubatnya. Sabda Rasullullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam :

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Yang bermaksud ; “Setiap penyakit ada ubat, apabila ubat menepati penyakit, pesakit akan sembuh dengan izin Allah SWT.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri di dalam mengubati penyakit-penyakit yang dialami oleh manusia. Perlu untuk saya nyatakan di sini bahawa perubatan Islam bukanlah bermakna bahawa Islam menolak segala macam penemuan-penemuan moden dan peralatan canggih untuk mengubati penyakit. Islam juga sama sekali tidak menolak ilmu kedoktoran yang diajar berasaskan kepada penemuan sains terkini pada hari ini, cuma di dalam masa yang sama, perubatan Islam meletakkan ciri-ciri tambahan sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang merupakan rahmat kepada sekalian alam.

Peserta-peserta Simposium yang dirahmati Allah

Di dalam Islam, asas pertama perubatan ialah memastikan ubat-ubat yang digunakan tidak boleh terdiri daripada perkara-perkara yang haram. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW :

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

yang bermaksud : Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan ubat serta menjadikan untuk setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka berubatlah kamu tetapi jangan berubat dengan perkara-perkara yang diharamkan.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyeru semua pihak yang memberikan perhatian ke arah membangunkan sistem perubatan yang tidak bergantung kepada bahan-bahan yang diharamkan oleh syarak. Ini termasuklah penggunaaan gelatin dan alkohol tidak menepati piawaian syarak. Malangnya, bahan-bahan yang tidak menepati syarak ini berleluasa digunakan dalam ubat-ubatan hasil kelemahan dan kealpaan umat Islam untuk menguasai bidang perkilangan ubat-ubatan. Inilah asas yang paling penting apabila menyebut tentang perubatan mengikut neraca Islam.

Hakikatnya inilah kehilangan yang besar di sisi umat Islam pada hari ini iaitu kehilangan penguasaan dalam ilmu-ilmu perubatan moden dan terkini. Sedangkan sejarah menyaksikan bagaimana munculnya tokoh-tokoh perubatan di kalangan umat Islam pada ketika tamadun Islam berada di kemuncak mengatasi tamadun yang lain. Dalam zaman kegemilangan tamadun Islam ini muncullah para cendikiawan dalam bidang ilmu perubatan Islam seperti Al-Raziz, Al Zahrawi, Ibnu Sina, Ibnu Rusd dan Ibnu El-Nafis. Disamping ilmu dan kemahiran kedoktoran, mereka ini juga mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang keagamaan, astronomi, fiziks, matematik dan lain-lain.

Hari ini isu halal dan haram ubat-ubatan, penggunaan ubat-ubatan dalam kaedah yang khusus ataupun prosedur perbuatan yang terkini dan sering kali mengundang tanda tanya bukan sahaja di kalangan kaki tangan kesihatan khasnya, bahkan di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia, amnya.

Justeru fikah dalam perubatan adalah bidang yang memerlukan kemahiran dan penelitian yang jitu. Kupasan hukum mengenai isu terkini semestinya mengikut kaedah-kaedah asas fikah seperti qawa’id fiqhiyyah dan usul fiqh.

Peserta-peserta Simposium yang dirahmati Allah

Selain itu, Islam juga mengajar bahawa seorang perlu meyakini bahawa kuasa penyembuh hanya dimiliki oleh Allah SWT. Justeru di antara nama yang dimiliki oleh Allah SWT daripada 99 nama yang disebut di dalam al-Quran ialah as-Syafi iaitu Penyembuh. Oleh yang demikian di samping berikhtiar dengan pelbagai jenis ubat, Islam mengajar umatnya agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan berlindung dengan pelbagai jenis doa dan bacaan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah membaca al-mu’awwizatain (dua pelindung) iaitu surah an-Nass dan surah al-Falaq. Dua surah inilah yang dibaca oleh Rasulullah SAW ketika menghadapi sihir yang ditujukan kepada baginda. Bukan setakat itu sahaja, bahkan al-Quran itu sendiri disifatkan oleh Allah SWT sebagai kitab yang mengandungi syifa’ iaitu ubat dan rahmta kepada manusia. Namun, ini memerlukan hubungan yang mantap di antara manusia dengan Allah SWT.

Hubungan seorang hamba dengan tuhannya yang menjadikan seorang hamba itu sentiasa optimis di dalam kehidupan. Harapan dan optimis yang ada dalam diri ini merupakan ubat yang paling mujarab di dalam menyembuhkan penyakit, manakala tekanan dan putus asa ditambah ketiadaan hubungan dengan Allah SWT menjadikan seseorang itu semakin sukar untuk disembuhkan. Hakikat ini dibuktikan dengan kewujudan kes di mana terdapat ahli-ahli psikologi sendiri yang membunuh diri akibat tidak tahan dengan tekanan. Justeru, Allah SWT berfirman :

وَلَا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

yang bermaksud : dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir

Surah Yusuf, ayat 87

Peserta-peserta Simposium yang dirahmati Allah

Islam juga mengajar supaya umatnya percaya kepada qadha dan qadar sebagai satu ketentuan daripada Allah SWT termasuklah penyakit yang dihidapi. Kepercayaan ini bukan menjadikan seorang pesakit itu hanya duduk tanpa sebarang ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit, tetapi ia memberikan semangat padanya untuk terus berikhtiar dan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Mereka yakin bahawa setiap penyakit yang menimpa semuanya sudah tertulis di sisi Allah SWT

Peserta-peserta Simposium yang dirahmati Allah

Islam juga meletakkan bersuci sebagai satu ibadah yang difardhukan untuk melakukan ibadah-ibadah lain. Bersuci ini selain memastikan jasmani bersih dari kekotoran fizikal, ia juga berperanan menyucikan rohani dari unsur-unsur yang tidak baik. Justeru, Islam membezakan antara nazofah iaitu bersih dan toharah iaitu suci. Sesetengah perkara mungkin dilihat bersih tetapi boleh jadi belum suci. Lalu terdapat di dalam Islam amalan-amalan yang membawa kepada kebersihan dan kesucian seperti berwudhuk, bersugi, mandi wajib, istinjak dan sebagainya. Semua ini membawa kepada kesihatan dan menjauhkan daripada penyakit. Saya yakin, jika sekiranya amalan-amalan bersuci di dalam Islam dipraktikkan dengan sebenar-benarnya oleh masyarakat, sebahagian besar masalah penyakit yang berpunca daripada kekotoran dapat dihindarkan.

Akhir kata, saya berharap agar Simposium Fiqh Perubatan Islam yang diadakan pada hari ini berjaya memberikan pendedahan kepada peserta sekalian pandangan sebenar Islam terhadap perubatan dan bagaimanakah perubatan yang benar-benar diredhai oleh Allah SWT. Setinggi-tinggi tahniah saya rakamkan kepada pihak Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan di atas kejayaan menganjurkan program yang sangat bermanfaat ini. Semoga program ini dapat diteruskan dengan lebih berjaya di masa-masa akan datang. Saya sudahi dengan :

أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Teks Ucapan

Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia

Menteri Besar Kelantan

Di Majlis Penutup Simposium MahasiswaPerubatan Islam

Pada : 20 Ramadhan 1432 H bersamaan 20 Ogos 2011 M (Sabtu)

Masa : 5.30 petang

Bertempat di : Surau Kompleks Islam Darul Naim, Lundang, Kota Bharu Kelantan



rujukan:

0 comments: